
Puan,
Saya benar-benar berhajat untuk mendapatkan resipi kuih ini. Tetapi, setiap kali saya menyuarakan persoalannya, setiap kali itulah jawapannya, 'tidak tahu'. Sebabnya ini resipi dari orang dulu-dulu dan kuih ini asalnya dari Terengganu.
Jadi, sekiranya puan dapat membantu saya, maka rasanya sayalah orang yang bertuah mendapatkan resipi berharga ini. Kuih ini namanya Tat Nangka. Kuihnya bulat, berjari lima atau tiga di atas permukaannya, manakala intinya daripada nangka yang dimasak menjadi jem di tengah-tengahnya. Terima kasih saya ucapkan kepada puan sekiranya mendapat perhatian.
Noridah Mohd Ali,
Taman Perumahan Gong Badak 4,
Kuala Terengganu, Terengganu.
Pastri untuk tat nangka sama seperti pastri tat lain iaitu menggunakan mentega, sedikit gula, telur dan tepung serbaguna. Puan perlu terap doh pastri ikut kegemaran seperti di dalam tin mini tat atau dicanai doh dan terap kepingan persegi empat atau 3 segi. Isikan inti nangka yang dibuat terlebih dahulu dan disejukkan dan hias permukaan tat dengan kesukaan sendiri. Hiasan boleh dipelbagaikan seperti dengan menerap doh dan melekatkannya keatas jem atau apa sahaja hiasan yang puan inginkan.
Selamat mencuba!
Saya berminat untuk mempelajari membuat kuih krim paf yang sedap dengan menggunakan sukatan yang betul. Baru-baru ini saya telah mencuba membuatnya, tetapi tidak menjadi. Diharapkan puan sudi memberikan resipi krim puff yang senang dan mudah difahami.
Patihah Hj Yusoh,
Kampung Lampu, Besut, Terengganu.
Bahan-bahan:
125gm mentega
300ml air
200gm tepung berprotein tinggi (tepung roti)
4 biji telur
Cara memasak:
1. Didihkan air dan mentega dan masukkan tepung. Kacau rata.
2. Masukkan telur dan kacau lagi.
3. Paipkan keatas dulang pembakar dan bakar didalam ketuhar bersuhu 200 darjah C selama 20-30 minit.
4. Keluarkan dan biar sejuk sebelum diisikan inti kegemaran
Kita sering tertanya-tanya bagaimana timun yang dibuat acar rangup dan begitu enak di makan. Ramai yang tidak mengetahuinya bukan? Aplikasikan petua ini dan rasai hasilnya untuk acar anda. Selamat Mencuba.
Kiriman:
Rosnah Sulaiman
Batu Pahat, Johor
BAHAN-BAHAN:
Timun dan Air ais
CARA MEMBUAT:
1. Hiris timun nipis.
2. Tuangkan ke dalam air ais.
3. Biarkan di rendam selama 30 minit.
Siapa tidak kenal dengan bekas pelajar Akademi Fantasia 3, Ekin yang bersuara lantang dan serak-serak basah ini. Malah siapa menyangka gadis kecil molek ini rupanya tidak kekok di dapur. Menurut kata Ekin, memasak menjadi rutin hariannya ketika di rumah.
"Di rumah kalau terasa lapar saya akan turun memasak sendiri, lebih cepat dan mudah jika dibandingkan hendak bersiap-siap makan di luar. Pada saya memasak tidak sukar jika kita benar-benar minat. Antara yang menjadi kegemaran saya tentunya Ayam Masak Lemak Cili Padi, Kari Ayam dan Ayam Sos Tiram. Ini memang selalu saya cuba di rumah. Kerap membaca majalah resipi membuatkan saya berkeinginan untuk mencuba.
Tidak kurang juga dengan petua yang diajarkan ibu kala memasak. Yang selalu saya praktikkan seperti menggoreng ikan dengan menambah lebih sedikit garam. Ini mengelakkan ikan goreng tidak melekat pada kuali. Membuat telur gebu dan kembang juga pernah saya cuba melalui pembacaan dari majalah dan internet. Seronok juga menerapkan ilmu ini.
Ekin yang sedang dalam rangka promosi filem sulungnya, Belukar sentiasa mencari ruang untuk memasak makanan kegemarannya jika berkelapangan.
PETUA GEBUKAN TELUR DADAR
BAHAN-BAHAN:
Telur, Garam dan Air
CARA MEMBUAT:
1. Pecahkan telur di dalam mangkuk.
2. Masukkan garam.
3. Tuangkan sedikit air dan kacau.
Biarpun sudah dibasuh bersih namun kesan minyak masih kerap tertinggal pada permukaan kuali. Apa kata anda mencuba petua ringkas ini untuk memastikan kuali anda bersih. Selain bersih, kuali anda makin berbau harun disimpan. Selamat Mencuba.
Kiriman:
Marliza Zakaria
Masjid Tanah, Melaka.
BAHAN-BAHAN:
Limau nipis, Air
CARA MEMASAK:
1. Hiriskan limau nipis.
2. Perahkan pada permukaan kuali dengan rata.
3. Bilis dengan air yang bersih.
Untuk menghias makanan seperti hidangan pengantin dan sebagainya, cili hiasan amat diperlukan. Namun ramai yang tidak tahu untuk menjadikannya lembut dan cantik untuk dihias. Cuba petua ini lihatlah hasilnya.
Kiriman:
Wan Kamarina Wan Hassan
Kuala Terengganu, Terengganu
BAHAN-BAHAN:
Cili merah, Air, Garam
CARA MEMBUAT:
1. Hiris cili merah membentuk bunga dan hiasan yang dikehendaki.
2. Rendamkan ke dalam air.
3. Masukkan garam.
4. Biarkan di rendam selama 30 minit.
Menjadi artis dan selebriti bukanlah perkara mudah. Jadual waktu yang berbeza dari tata kerja biasa menghimpit rutin hidup yang juga berbeza saban hari. Atas perbezaan inilah yang menyebabkan ramai selebriti tidak punya masa turun ke dapur biarpun punya kepakaran tersendiri.
"Bila ada waktu 'free' barulah dapat turun memasak di dapur", kata Sherry Ibrahim, barisan pelakon utama drama Cik Ah Cik Nin, yang pernah disiarkan saluran Astro tidak lama dahulu.
"Kalau ada masa terluang pastinya saya tidak terlepas memasak spageti bolognis yang menjadi kegemaran saya. Kala berada di dapur biasanya segala petua yang diajar ibu dan nenek akan sentiasa saya praktikkan. Antara yang selalu saya amalkan tentunya membilas ikan dengan air beras dan kemudiannya barulah dibilas dengan air biasa. Cara ini memastikan ikan lebih bersih dan tidak berbau hanyir. Seronok juga apabila dapat mengaplikasikan semua ini", ujarnya ringkas.
Sherry yang bakal menemui peminatnya dengan drama bersiri Capalrela bersama Zizan dan Johan di saluran Astro Warna ini rupanya sangat prihatin tentang pemakanan. Bukan hanya petua malah pemilihan makanan juga penting untuk tubuh setiap hari.
PETUA HILANGKAN LEMAK AYAM
Lemak ayam memang sukar dihilangkan biarkan pun di bilas berkali-kali. Petua mudah menggunakan bahan dapur sememangnya amat menepati konsep mudah dan pantas menghilangkan kesan lemak ini. Selamat mencuba.
BAHAN-BAHAN:
Tepung gandum, Ayam
CARA MEMBUAT:
1. Masukkan tepung ke dalam ayam.
2. Gaulkan rata.
3. Biarkan dan perap selama 30 minit.
Ketika proses mencuci daging, tangan kita akan terkesan dengan sisa-sisa minyak pada daging. Selain membasuhnya bersih, ada cara yang lebih mudah dan berkesan untuk anda tanggalkan kesan minyak ini. Ikuti petua ini.
Kiriman:
Mah Rohaileni Mahamud
Kulai, Johor
Bahan-bahan:
Daging, gula pasir dan air
Cara membuatnya:
1. Lumur gula pasir pada tapak tangan.
2. Kemudian bilas dengan air bersih.
Buah-buahan memang cepat bertindak balas dengan suhu persekitaran kerana strukturnya yang lembut. Namun tentu ada caranya untuk mengelakkan masalah ini dari dibiarkan memberi kesan pada tubuh. Ikuti petua ini dan ketahui hasilnya. Selamat Mencuba.
Kiriman:
Jurina Mustapar
Kuantan, Pahang.
Bahan-bahan:
Buah-buahan, air, garam dan cuka
Cara membuatnya:
1. Belah buah epal kecil dan rendam di dalam air.
2. Masukkan satu sudu makan cuka dan biarkan seketika.
3. Masukkan sedikit garam.
Jemput-jemput atau cucur memang enak dijamah di petang hari. Keenakkan petang hari tambah enak jika cucur yang disajikan enak rasanya dan membuka selera semua orang. Petua melembutkan cucur ini sememangnya patut anda cuba.
Kiriman:
Rohana Sulong
Muar, Johor
Bahan-bahan:
Nasi sejuk, doh cucur dan air
Cara membuatnya:
1. Bancuh cucur dengan sedikit air dan kacau sebati. Ketepikan.
2. Masukkan nasi ke dalam pengisar.
3. Tuangkan air dan kisar hingga lumat.
4. Tuangkan adunan ke dalam bancuhan doh.
5. Gaulkan adunan rata dan sedia digoreng.
Ayam tambah enak dimakan jika kena cara penyediaan dan resipi yang sesuai dengannya. Menambahkan pelbagai bahan semakin menyedapkan rasa ayam goreng. Cuba ikuti petua ini dan rasakan keenakkan rasa sebenar ayam goreng.
Kiriman:
Wan Saudah Wan Salleh
Dengkil, Selangor
Bahan-bahan:
Limau nipis, ayam dan kunyit dan garam
Cara membuatnya:
1. Masukkan serbuk kunyit dan gaulkan rata.
2. Perasakan dengan garam secukupnya.
3. Perahkan jus limau nipis.
4. Gaul ratakan ayam rata dan sedia digoreng.
Ketika merebus telur ayam, ramai yang keliru dan tidak tahu samada telur sudah cukup masak atau belum waktunya untuk diangkat. Tip dan petua ini tentunya menambah pengetahuan anda. Selamat mencuba.
Kiriman:
Halipah Sulaiman
Kuala Kangsar, Perak.
Bahan-bahan:
Telur ayam, air & beras
Cara membuatnya:
1. Didihkan telur di dalam periuk.
2. Masukkan beras.
3. Apabila nasi masak tutup api dan sejukkan.