Soalan-soalan terpilih

TEKNIK BUAT PIZZA

Puan,
Saya suka mencuba pelbagai resipi yang enak dan mudah, terutamanya pizza. Saya ingin mengetahui bagaimanakah membuat pizza yang lembut dan tahan sehingga keesokannya dengan menggunakan tepung gandum? Selain itu, bagaimanakah menyediakan sos pizza yang enak?

Robaaiyah Ibrahim,
Port Dickson,
Negeri Sembilan.

ROTI PIZZA
Bahan-bahan:
1 sudu makan ragi segera
350ml air suam
500gm tepung serbaguna
1 sudu makan minyak masak
Sedikit garam

Cara memasak:
Uli semua bahan dan perap selama 1 jam. Uli lagi dan bahagi kepada 3 bahagian dan tekankan ke dalam tin pizza ukuran 30cm bulat. Perap lagi selama 1 jam dan cucuk-cucukkan doh dan terus bakar didalam ketuhar bersuhu 200∞C hingga masak. Letakkan sos dan inti pizza dan bakar lagi sehingga keemasan.

Bahan sos pizza:
8-10 biji tomato yang masak (dibuang bijinya dan dikisar halus)
1 biji bawang besar (dikisar kasar)
3 ulas bawang putih (dikisar halus)
1 sudu besar cili pes
2 sudu besar minyak masak
2 sudu besar gula (ikut rasa)
1 sudu besar garam
Serbuk lada hitam

Cara memasak:
Panaskan minyak, tumis bawang, bawang putih dan cili. Masukkan tomato, gula, serbuk lada hitam dan garam. Biar didih dan boleh digunakan untuk pizza. Untuk sos yang lebih enak, boleh ditambah herba-herba kegemaran dan perisa.

Selamat mencuba!

 
MEMBUAT KEK KUKUS LEMBAB

Puan,
Saya menghadapi masalah membuat kek kukus buah-buahan yang lembab. Biasanya kek kukus yang saya buat akan kekeringan dan berderai. Jadi, bagaimanakah caranya membuat kek kukus dengan teknik yang betul? Saya berharap chef dapat menyelesaikan masalah saya ini. Sekian, terima kasih.

Nor hazani Abdullah@Hussin
Kemasik, Kemaman, Terengganu.

Selepas dikukus, kek mesti dibungkus dengan aluminium foil. Sebelum dibungkus cucuk-cucukkan kek dengan lidi penyucuk sate dan tuangkan jus oren atau epal untuk melembabkan kek. Simpan dingin dan bolehlah dipotong untuk dimakan selepas seminggu.

 
FUNGSI SUSU SEGAR DALAM KEK

Puan, 
Chef antarabangsa sering menggunakan susu segar dan gula perang di dalam resipi kek mereka. Adakah ianya untuk lebih melazatkan atau hanya dari segi kesihatan? Jika allergi kepada susu, bolehkah digantikan dengan bahan lain untuk mendapatkan rasa kek yang sama enak? 

Kiriman: 
Nur Hafiizhoh Abd Hamid,
Lot 18, Taman Jenan, 06000 Jitra Kedah.

Jawapan:
Bukan sahaja resipi antarabangsa menggunakan dua bahan susu dan gula perang. Banyak resipi-resipi kita juga menggunakannya. Susu di dalam masakan boleh menggantikan santan atau sebaliknya. Jika beralahan, gunakan susu kacang soya. Susu di dalam pembuatan kek menjadikan kek lembut dan jika ketiadaan susu gunakan jus atau air biasa sahaja.

Gula perang pula memberikan rasa enak gula hangus pada kek dan puding. Kek yang menggunakan gula perang tidak berwarna kuning tetapi keemasan kerana itulah warna gula perang. Gula perang adalah campuran gula putih dan molasses dan ia memberikan kelembapan pada kek.

 
CARA KEKALKAN KESEGARAN BUAH-BUAHAN

Puan, 
Saya sangat suka menikmati buah-buahan terutama epal dan jambu batu. Saya ingin mengetahui bagaimana cara penyimpanan yang betul atau cara mengekalkan kesegarannya untuk tempoh tertentu. Selain itu, bagaimanakah untuk mempelbagaikan menu buah-buahan selain dimakan begitu saja? Saya selalu membuat kek coklat tetapi sehingga sekarang topping kek tidak pernah menjadi. Ianya cair dan warnanya kurang menarik. Saya harap puan dapat membantu saya untuk membuat topping kek dengan cara yang betul. 

Kiriman: 
Faizura Ismail,
No 62, Lorong 4/3, Taman Bunga Raya, 35000 Tapah, Perak. 

Jawapan:
Buah-buahan perlu disimpan di tempat sejuk dan dingin. Lebih enak dan rangup jika dimakan sebaik saja dibeli di pasaraya tanpa disimpan. Jika perlu disimpan pastikan buah-buahan seperti epal disimpan jauh dari sinar matahari, di dalam bekas tanpa tutup atau di dalam plastik yang telah dilubangkan. Biasanya buah-buahan mengeluarkan gas yang akan merosakkan buahan dan sayuran lain yang disimpan bersama. Jadi asingkan buah-buahan dan sayuran didalam peti sejuk.

Memang banyak resipi untuk buah-buahan. Gunakan kebijaksanaan puan untuk mencipta resipi darinya. Campuran buah-buahan boleh dijadikan salad, jeli, puding, bubur manis dan sebagainya di dalam masakan.

Topping kek coklat yang mudah:-
180gm coklat masakan atau coklat cip
4 sudu makan mentega
4 sudu makan glukos

Cara memasak:
1.Campurkan semua bahan dan cairkan di atas api perlahan.
2. Curahkan ke atas kek yang telah disediakan. Biar sejuk dan hidang.

 
PUDING KASTARD TIDAK MENJADI

Puan, 
Saya gemar membuat puding. Tetapi sampai ke hari ini saya masih gagal untuk membuat puding yang berlapis kastard. Contohnya, saya suka membuat puding koktel buah-buahan yang dilapiskan dengan tepung kastard. Saya kurang pasti sama ada caranya salah ketika memasak tepung kastard atau sebaliknya. Selalunya saya akan menggunakan empat jenis bahan iaitu kek gulung, tepung kastard, buah koktel dan agar-agar. Saya akan memotong kek dan susunkan ke dalam bekas. Kemudian saya akan tuangkan air tin daripada buah koktel. Selepas itu saya akan memasak kastard bersama susu dan air mengikut sukatan. Barulah saya akan lapiskan kastard di atas kek, taburkan buah koktel dan agar-agar yang telah dimasak bersama gula. Masalah yang saya hadapi iailah ketika saya hendak meratakan kastard di atas kek, ianya tidak mahu sekata dan berketul-ketul. Sudah beberapa kali juga saya cuba memperbaiki resipinya tetapi hasil tetap sama. Mengapa dan apakah cara untuk saya mengatasinya? 

Kiriman: 
Noor Hasliza Hashim,
Parit 7/A, Sungai Manik Rizab Kayu Api, 36000 Teluk Intan, Perak. 

Jawapan:
Resipi kastad mudah adalah:
500ml santan
120gm gula
90gm tepung kastad
1 sudu teh esen vanila

Cara memasak:
1. Campurkan santan dan tepung kastard. Kacau hingga tepung kastard larut.
2. Tapis dan masukkan gula dan esen. Kacau diatas api sederhana hingga pekat.
3. Terus tuang ke atas jeli atau buahan yang telah disediakan. Biar sejuk atau dinginkan.

Apa sahaja jenis puding berlapis kastard, pastikan semua bahan disediakan dan pastikan kek telah dipotong dan buahan telah disediakan. Jangan tunggu lama untuk membuat lapisan kerana kastard akan menjadi keras dan payah untuk diratakan.

 
CARA KUPAS KERANG DAN BUAT KUAH PASTA

Puan, 
Saya ingin bertanya pada puan, bagaimanakah caranya membuat kuah pasta yang lazat, enak tetapi ringkas? Sekiranya saya suka isi ikan dimasukkan ke dalam kuah pasta, adakah ia mengenakkan kuah pasta atau sebaliknya? Selain itu, apakah caranya mengeluarkan kerang daripada kulitnya setelah masak? Apakah bahan yang perlu saya masukkan samada ketika merebus kerang tersebut?

Soalan seterusnya, suami saya suka makan Nasi Ayam begitu juga anak saya. Tetapi, kebiasaannya saya menggoreng ayam tersebut. Jika saya mahu membakar ayam tersebut adakah rasanya enak atau bertukar pahit?

Kiriman: 
Rosnizazila Sulaiman,
D-5-5 Taman Bukit Jambul,
11900 Sungai Nibung,
Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Jawapan:
1) Saya pernah memberi resipi membuat kuah pasta pada keluaran Disember 2009. Jika puan ketiaadan isu RASA disember 2009, sila hubungi RASA. Kebiasaannya sos pasta menggunakan daging. Tetapi tidak menjadi masalah jika puan menggunakan isi ikan. Gunakan bebola ikan atau bebola makanan laut. Saya yakin pasti sedap!

2) Kerang adalah makanan laut yang enak dan cara membersihkannya mudah sahaja. Gunakan berus khas untuk membersihkan kerang dan basuh kerang sambil memberusnya. Kemudian rebus sebentar, kupas kulitnya dan keluarkan isinya. Sewaktu merebus kerang, bolehlah dimasukkan 1-2 batang serai yang telah diketuk.

3) Apabila membakar ayam, pastikan dengan api sederhana dan balik-balikkan ayam supaya masaknya serata. Ayam yang dibakar atau digril memberi aroma yang berbeza berbanding ayam yang digoreng. Ia juga baik untuk kesihatan kerana apabila menggril, minyak digunakan di dalam kuantiti yang sedikit.

 
CARA MEMASAK MI SEGERA

Assalammualaikum, 
Puan, saya adalah seorang pelajar. Di sini saya ingin mengetahui cara memasak mi segera yang betul. Ini kerana mi atau maggi mudah kembang. Saya sangat memerlukan bantuan puan kerana sebagai seorang pelajar, penyediaan masakan ringkas dan cepat amat perlu kerana kami tidak mempunyai masa yang banyak. Sekian, terima kasih. 

Kiriman: 
Amirul ‘Izzat Bin Ismail,
No 36, Jalan Syed Kuning,
Kampung Padang Kala,
16400 Melor, Kota Bharu, Kelantan. 

Jawapan:
Sekiranya anda mahu memasak mi segera, biasanya cara memasak mi tersebut ada dicatitkan di bahagian belakang pembungkus. Tetapi ianya boleh juga diubah suai mengikut citarasa sendiri. Caranya ialah: Didihkan air dan masukkan mi segera selama 2-4 minit (jangan lebih dari itu), toskan dan tambah rempah-rempah yang disediakan. Jika mi berkuah, jangan didihkan air terlalu banyak.

Kebiasaannya 250-300ml air untuk 1 peket mi. Apabila mendidih, tunggu 2-3 minit, alihkan dari api dan masukkan bahan rempahnya. Kacau rata dan hidang. Tambahkan sayuran, bawang goreng dan apa sahaja yang digemari. Ini akan menambahkan kelazatan mi tersebut. Majalah RASA selalu menyiarkan resipi-resipi mudah untuk pelajar-pelajar. Dapatkan majalah RASA setiap bulan dan kumpul resipi-resipi ini untuk kegunaan masa akan datang. Semoga berjaya.

 
MENGGUNAKAN SUSU TEPUNG KRIM
Puan,
Saya ingin mencuba masakan yang menggunakan susu tepung penuh krim. Di sini saya ingin bertanya bolehkah saya menggunakan susu tepung jenama Nespray? Sekian, terima kasih. 

Kiriman:
Zailina Abu Bakar,
85, Kampung Air Merah,
86800 Mersing, Johor. 
 
Jawapan:
Susu tepung Nespray adalah susu keluaran Nestle. Sudah tentu boleh digunakan di dalam masakan, kek, puding dan minuman. Jika sesuatu resipi menggunakan susu segar atau susu tepung penuh krim Puan boleh gunakan susu serbuk segera Nespray dan campurkan dengan sedikit air untuk dijadikan susu cair dan terus digunakan di dalam resipi tersebut. Susu bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi ianya memberi kelazatan pada masakan kita. Selamat mencuba.
 
INGIN MEMBUAT SOS BARBEKU

Puan,
Keluarga saya amat menggemari barbeku. Tidak kiralah udang, ketam, ayam, daging atau ikan. Selalunya saya menggunakan rempah barbeku  yang dijual di pasaraya. Bolehkah puan memberikan saya resipi membuat rempah barbeku yang lebih sedap berbanding rempah segera. Ini  kerana rempah segera yang dijual di pasaraya, banyak sangat perisanya. Harap puan dapat membantu.
 
Kiriman:
Salina binti Abdullah @ jamil,
Far East Ladang Delima, Peti Surat 29,
26800 Rompin, Pahang.

Jawapan: Puan boleh cuba mengikut resipi sos/rempah barbeku di bawah. Rempah-rempah atau sos yang dibuat sendiri tentunya lebih lazat dan tidak was-was. Selamat mencuba!

SOS/REMPAH BARBEKU

BAHAN-BAHAN:
1 biji bawang besar (dicincang halus)
2-3 ulas bawang putih (dikisar)
3 sudu besar marjerin atau mentega
3 biji tomato (dibuang kulit dan bijinya dan dikisar)
200gm pes tomato
2 batang seleri (dicincang)
60ml cuka
1 biji cili benggala hijau (dicincang halus)
2 helai daun salam
3 sudu besar gula melaka atau ikut rasa (dipotong kiub kecil)
Garam secukup rasa
2 sudu kecil pes cili
2 sudu kecil sos tiram atau sos Tabasco
½ sudu kecil serbuk cengkih
½ sudu kecil serbuk rempah kari
3 biji limau nipis (dihiris nipis)

CARA MEMASAK:
1. Panaskan kuali dengan sedikit marjerin. Tumis bawang dan bawang putih sehingga wangi.
2. Selepas itu masukkan semua bahan lain dan biar didih selama 20-30 minit. Pastikan dikacau selalu.
3. Boleh juga dikisar dan digunakan sebagai bahan pencicah. Pastikan sebelum dikisar buangkan daun salam dan hirisan limau.

 
SPAGHETTI NAMPAK CANTIK

Puan,
Saya ingin bertanya kepada puan, bagaimanakah cara hendak memasak spaghetti agar lebih nampak cantik serta tidak meninggalkan kesan air tepung melekit pada spageti setelah dimasak. Selain itu, apakah perbezaan tomato puri dan pes tomato dan yang manakah perlu dilebihkan untuk digunakan di dalam membuat sos spaghetti yang dibuat sendiri agar lebih sedap. 

Kiriman:
Norhayati Ismail,
20, Jalan Sungai Cincin Satu 27/57A,
Taman Bunga Negara,
Seksyen 27, 40400 Shah Alam.

Jawapan: Untuk memasak spageti, puan perlu didihkan air secukupnya dan tambah sedikit garam dan minyak masak ke dalam air didih. Masukkan spageti dan biar hingga lembut tetapi tidak hancur. Toskan.

Tomato puri adalah tomato-tomato yang dimasak sebentar sahaja dan ditapis. Bahan yang ditapis adalah pekatan tomato yang pekat. Kepekatannya adalah seperti kepekatan di antara tomato pes dan tomato kisar. Pes tomato pula adalah tomato-tomato yang mula-mula dimasak lebih dari lima jam untuk mengurangkan airnya dan ditapis. Bahan yang tinggal tanpa biji dan kulit tomato ini dimasak semula supaya menjadi pekat dan likat. Di dalam pembuatan sos spageti, puan boleh ubah suai rasanya mengikut selera sendiri. Puan boleh mencampurkan tomato segar, tomato pes, tomato sos dan tomato puri. Hanya yang perlu diingat, di dalam sos spageti mesti ada herba seperti oregano, basil dan daun sup segar. Selamat mencuba!

 
CARA BETUL BUAT ROTI DAN BUN

Soalan:
Puan, saya ingin bertanya, bagaimanakah caranya membuat roti dan ban yang betul. Saya sudah cuba membuatnya beberapa kali, namun semuanya tidak memuaskan hati. Ada kalanya roti menjadi keras dan tidak mengembang, ada kalanya ia merekah di atasnya.

Apakah sebabnya? Bolehkah puan sertakan resipi membuat roti dan ban dengan teknik yang betul. Saya harap puan sudilah membantu saya. Saya tidak akan berputus asa. Sekiranya berjaya, saya mahu memulakan perniagaan kecilkecilan di kampung saya.

Cek Not Fatimah,
Kuala Lipis, Pahang

Jawapan:
Resipi roti dan ban menggunakan yis, gula, garam, tepung roti atau tepung berprotein tinggi, telur, air dan sedikit minyak atau mentega. Selepas diuli semua bahan, doh akan diperap selama 30-60 minit sehingga menjadi dua kali ganda besarnya.

Kemudian diuli lagi dan dibentuk. Selepas dibentuk, diperap semula selama 30 hingga 60 minit. Pastikan ketuhar telah dipanaskan pada suhu 190ºC. Sapukan sedikit susu atau campuran kuning telur diatas roti dan bakar sehingga keemasan.

 
ELAK IKAN DARIPADA HANCUR

Puan,
Saya mempunyai dua soalan yang ingin ditanya iaitu:
1. Bagaimanakah cara atau kaedah yang sesuai untuk mengelakkan ikan daripada
hancur ketika memasak asam pedas atau masak rebus?
2. Apakah kegunaan gula perang di dalam masakan? Apakah khasiatnya?

Kiriman:
Ambran Abu Bakar,
Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur.


Jawapan:
Untuk asam pedas, jangan dikacau kuahnya selepas dimasukkan ikan. Lebih elok jika digoreng terlebih dahulu ikan yang hendak dimasak. Gula perang digunakan untuk memaniskan masakan dengan tidak memerlukan bahan penambah perasa. Khasiat gula adalah memberi tenaga pada tubuh kita.

 
NASI KERABU DAN IKAN CELUP TEPUNG

Puan,
Saya seorang suri rumah yang gemar memasak dan membuat kuih-muih. Bagaimanakah caranya untuk membuat nasi kerabu dan ikan celup tepung yang sesuai untuk satu set hidangan nasi kerabu?

Kiriman:
Ismalainie Ismail
Pasir Gudang, Johor.

Jawapan:
1. Ada orang kisar semua ulam dan ambil jusnya dan masak nasi dengan jus ini.
Isi ikan bakar dikisar dan campur dengan kelapa parut dan bawang dan goreng garing. Ulam pilihan seperti tauge, kacang panjang, bunga kantan dan daun kunyit dihiris paling halus dan digaul dengan nasi. Hidang pula dengan kelapa goreng.

Ikan digoreng bertepung seperti menggoreng pisang. Tambah sedikit kunyit serbuk di dalam tepung gorengan. Gunakan ikan yang kecil supaya mudah  digoreng dan cepat garing.

 
MASAK SPAGETI

Puan,
Saya ingin bertanya bagaimanakah caranya memasak spageti yang betul. Bolehkah puan membantu saya menyediakan sos spageti yang enak? Ini kerana keluarga saya sangat suka menikmati spageti.
Kiriman:
Haslina Asri,
Sungai Buloh, Selangor.


Jawapan:
Didihkan air dan masukkan sedikit garam dan minyak masak. Masukkan pula spageti dan perlahan-lahan tekankan masuk ke dalam air didih dan jangan dipatah-patahkan. Apabila telah lembut, alihkan dari api dan toskan. Sos spaghetti mudah disediakan.
Puan boleh mencuba resipi di bawah.

 

SOS SPAGETI
BAHAN-BAHAN:

400gm daging kisar
2 sudu makan minyak masak
1 biji bawang besar | dicincang
3 ulas bawang putih | dikisar halus
1 biji cili benggala hijau | dipotong kiub kecil
200gm cendawan
2 tangkai daun sup
450gm tomato | dikisar
500gm sos tomato
200gm pes tomato
2 sudu teh serbuk daun selasih kering
1 sudu teh serbuk daun oregano kering
½ sudu teh serbuk daun thyme
Stok daging secukupnya
Garam secukup rasa
Gulam secukup rasa
Cuka secukupnya
Serbuk lada hitam secukupnya
Keju parut sebagai hiasan

 


CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak di dalam kuali.
Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi.
2. Selepas itu masukkan daging dan kacau hingga masak.
3. Masukkan kesemua bahan lain kecuali keju dan biar didih sepenuhnya.
4. Hidang dengan spageti dan taburkan keju parut.

 


glossari
logRasa