KONGSI RESIPI

ANTARA 'NASI BUJANG' DENGAN RESTORAN 1 MALAYSIA

Sarapan RM2.00, makan tengahari RM4.00. Murah tu.... Sungguh, itu harga makanan yang telah ditetapkan untuk restoran yang membawa konsep Restoran 1Malaysia. Betul-betul jimat. Tetapi orang macam saya boleh ke mengikut disiplin harga macam tu?

Termenung sejenak, terfikir kalaulah Restoran 1 Malaysia itu ada dekat di tempat saya bekerja, mungkin bolehlah saya berlatih untuk berdikit-dikit. Melihat senarai restoran konsep tersebut yang namanya diterbitkan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini, hampa juga kerana tidak satupun berada hampir dari tempat  sayatinggal atau bekerja. Gagal lagi!

Dalam pada itu, teringat pula cerita anak lelaki sulung saya tentang Nasi Bujang. Sesekali dia akan memberitahu saya, “Mak hari ni kami (dia dan kawan-kawan sekolah) makan Nasi Bujang.” Nasi Bujang? Macam mana tu? Dia lantas bercerita, Nasi Bujang itu ialah gabungan nasi putih, telur goreng dan kuah. Restoran yang sepelaung
dari rumah kami yang menjual makanan tersebut. Harganya cuma RM2.00, cukuplah untuk mereka yang kurang bajet seperti anak saya itu, menikmati makan tengahari.

Berlebih-lebih
Merenung kembali tentang tabiat makan kebanyakan orang pada masa kini, saya mengakui dalam banyak keadaan kita berlebih-lebih. Tujuan menikmati makanan bukan lagi untuk mengalas perut semata-mata, sebaliknya lebih  kepada berseronok-seronok dengan makanan. Istilah asal kenyang, sudah dilupakan kerana kita sanggup berbelanja lebih untuk satu pinggan hidangan. Makan tengahari RM10.00 bagi orang pejabat bukan lagi pelik!

Memang benar, harga makanan di restoran kini melambung naik akibat daripada kenaikan harga barangan mentah. Tetapi jika kita tidak dapat mengawal diri daripada asyik mahu makan yang sedap-sedap sahaja, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat berjimat dalam berbelanja.

Ingatlah, yang enak di lidah itu tidak semestinya enak untuk tubuh. Makanlah secara sederhana dalam bajet yang sederhana juga. Berlebih-lebihan makan terutama di luar rumah, boleh menjejaskan kesihatan dan poket kita sekali gus. Ini adalah peringatan untuk diri saya sendiri juga! Akhir kata, Selamat jalan 2011, semoga kita dapat bersama lagi untuk tahun-tahun yang mendatang, InsyaAllah.

Salam secangkir kata,

Yati Rohani Rahim
Editor Pengurusan Kanan RASA
y a t i . r a h i m @ k a r a n g k r a f . c o m . m y
atau layari www.rasa.com.my




glossari
logRasa